Ciri-Ciri Kepimpinan yang Baik
Soal kepimpinan dalam sesebuah organisasi sering diperkatakan apabila ianya menampakkan kecacatan ataupun kemajuan bagi organisasi berkenaan. Ini terbukti peranan pucuk pimpinan bagi sesebuah organisasi amat penting, kerana ia melibatkan krediabiliti pemimpin dan perlakuan aktiviti dalam organisasi.Pemimpin yang bersifat adil adalah satu ciri penting yang sepatutnya ada bagi seseorang yang bergelar pemimpin. Ianya tidak terbatas kepada jenis kepimpinan kepada sebuah keluarga atau perkumpulan kecil atau sebuah organisasi. Malah apa sahaja yang dipimpin olehnya, keadilan akan sentiasa dipersoalkan. Artikel ini akan membicarakan tentang ciri-ciri kepimpinan yang harus ada dan dimiliki oleh seorang pemimpin kepada sesebuah organisasi menurut pandangan Islam.
Islam mengajak manusia menepati keadilan dalam segenap aspek kepimpinan yang diwakili olehnya. Sebab itulah pemimpin yang adil tempatnya kelak adalah di bawah naungan ‘Arash yang mulia.
Kepimpinan dari kacamata Islam merujuk kepada keperibadian dan segenap aspek tindakan yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Di antara ciri-ciri kepimpinan yang baik di antaranya ialah:
• Berilmu pengetahuan. Orang yang berilmu akan ditingkatkan darjat dan tarafnya. Demikian menurut AlQuran. Sudah semestinya seorang pemimpin dalam sebuah organisasi harus mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih terutama aspek-aspek teknikel dan juga pengurusan dalam organisasi.
• Teras Aqidah yang kukuh. Ini bermakna seorang pemimpin yang mempunyai teras aqidah yang kukuh akan berjaya dalam kepimpinannya kerana pegangan yang tetap dan aqidah yang mantap akan mencorakkan kepimpinan yang tegas dan beretika dalam perwatakan dan prosedur kerja.
• Seorang lelaki. Pemimpin lelaki mempunyai beberapa kelebihan berbanding wanita dari segi kepimpinan. Pandangan yang jauh dan bermakna lebih utama dari mengutamakan perkara yang dekat dan remeh dari segi soal-soal kepimpinan. Kaum wanita adalah penting dari segi mengukuhkan organisasi dan perkara-perkara yang perlu dihalusi untuk mencapai kesempurnaan.
• Amanah. Sifat amanah adalah sifat yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Seharusnya seseorang pemimpin mewarisi sifat tersebut untuk mewujudkan sikap kerja yang baik dalam berbagai urusan organisasi.
• Benar dalam perkataan dan tindakan. Seseorang yang benar dalam perkataan dan tindakannya menggambarkan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan menepati soal Kepimpinan Melalui Teladan.
• Keadilan yang meliputi segenap aspek yang dipimpin. Pemimpin yang adil adalah tunggak yang utama dalam sesebuah organisasi. Ciri kepimpinan yang adil mewarisi sifat-sifat utama pemimpin Islam sebagai termaktub dalam perjuangan para nabi dan rasul. Pemimpin yang adil juga dijamin keselamatannya di bawah naungan ‘Arash Allah swt.
• Bersifat rahim. Sabda Rasulullah s.a.w. ; perumpamaan baginda dengan umatnya ialah seperti orang yang menghalau kupu-kupu dan belalang yang berkerumun dekat api. Baginda menarik umatnya dari belakang agar mereka tidak jatuh ke dalam api tetapi mereka selalu terlepas tangan dari baginda. Sabdanya lagi, “Sebaik-baik pemimpin ialah yang kamu mencintai dan Dia mencintaimu, dan kamu mendoakan dan ia mendoakanmu. Dan sejahat-jahat pemimpin ialah yang kamu benci dan membenci kamu…”.
• Bijak dalam menangani masalah. Kisah Nabi Yusuf a.s dalam menangani masalah ekonomi meleset akibat musim kemarau yang berpanjangan melalui perancangan dan pentadbiran yang bijak adalah menjadi rujukan penting bagi sifat-sifat pemimpin yang bijak.
• Sentiasa menyampaikan pesanan dan perkara-perkara yang hak. Pesanan Rasulullah s.a.w., “Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat”.
Kesimpulannya, banyak lagi sifat-sifat yang digariskan dalam Islam bagi ciri-ciri kepimpinan yang baik seperti memaafkan, bertanggungjawab, petunjuk akhlak yang baik dan sebagainya. Jelas sekali, dari sifat-sifat di atas perlu dijadikan panduan dan rujukan kepada pemimpin-pemimpin organisasi yang mahukan kepimpinannya berakhlak.
sumber: TITISAN KENANGAN DAN ILMU
Post a Comment