Baru-baru ini, terdapat seorang sahabat yang meminta saya mengulas sedikit sebanyak tentang isu satu sms yang diterima yang berbaur khurafat. SMS itu menyatakan suatu arahan kepada pembaca supaya menghantar SMS itu kepada beberapa orang tertentu. Jika gagal berbuat demikian, maka KESIALAN akan menimpa, kata SMS itu. Jika berjaya dihantar kepada beberapa orang yang disebutkan, maka si pembaca akan mendapat ganjaran kekayaan dan seumpamanya. Menyentuh persoalan ini, Pak Dy ingin mengingatkan bahawa perkara ini BATIL dan HARAM untuk diikuti.
Dalam satu hadis riwayat al-bukhari dan muslim, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
“ Tidak ada kepercayaan adanya jangkitan, tidak ada kesialan, tidak ada hal-hal tidak baik kerana burung hantu, dan kesialan Bulan Safar”.
Hadis ini dipetik daripada buku Soal Jawab Kemusykilan Agama, karangan Ustaz Ismail Kamus.
Tujuan penghantaran SMS karut ini sebenarnya adalah untuk memesongkan akidah umat Islam. Sesungguhnya ALLAH s.w.t sahaja yang mempunyai kuasa untuk memberikan bencana atau nikmat kepada hambaNya dan bukannya SMS itu. Apabila pembaca mempercayai SMS itu secara mentah-mentah, dikhuatiri batal akidahnya kerana UMAT ISLAM WAJIB MEYAKINI BAHAWA ALLAH SAHAJA YANG BERHAK MENENTUKAN SEGALA-GALANYA.
Satu perkara lagi yang dikhuatiri, melalui teknologi masa kini, sama ada melalui FACEBOOK atau SMS dan sebagainya, banyak perkara-perkara rekaan yang memang tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w menjadi ikutan para umat Islam. Lebih menakutkan jika terdapat segelintir pihak yang sengaja mengada-adakan cerita berbentuk khurafat dan mendakwa perkara itu adalah ajaran Nabi s.a.w.
Merujuk kepada buku 300 HADIS BIMBINGAN karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd. Nazam, pada hadis ke 4, muka surat 3, hadisnya berbunyi :
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “sesiapa yang sengaja membuat pendustaan ke atasku maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka.” Hadis ini SAHIH riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Teknologi yang ALLAH kurniakan kepada manusia, perlu diadaptasikan ke arah mencari keredhaan ALLAH s.w.t. bukannya untuk menyebarkan suatu ajaran yang bercanggah dan boleh meruntuhkan akidah. Jika kita lihat, di barat, masyarakat mereka menguasai ekonomi dan teknologi serta ilmu pengetahuan terkini sedangkan umat Islam yang merupakan umat TERBAIK tidak berkelakuan seperti itu bahkan masih berenang dalam arus KHURAFAT.
Merujuk kepada buku Tip-tip Cemerlang daripada Quran, karangan Dr, Danial Zainal Abidin, umat Islam perlu menguasai teknologi. Hal ini berdasarkan surah al-anfal ayat 60 yang bermaksud,
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.”
Merujuk kepada kitab Al-Asas fit Tafsir, Syeikh Said Hawa menyatakan bahawa ayat ini bukan sekadar menyuruh umat Islam menyediakan busur dan panah semata-mata untuk mengumpul kekuatan. Tetapi kita perlu bersedia dengan roket atau peluru berpandu atau senapang untuk menguatkan sistem pertahanan negara. Kenderaan yang canggih juga perlu digunakan.
Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa kekuatan umat Islam akan bertambah jika kita menggunakan teknologi yang ALLAH kurniakan sebaik mungkin untuk mencari redha ALLAH. Segala amalan khurafat, yang boleh membawa kepada syirik dan batal akidah WAJIB dijauhi. Tolong sebarkan info ini kepada rakan-rakan yang lain. Akhir kata, YANG BAIK ITU PASTINYA DATANG DARIPADA ALLAH S.W.T, YANG SALAH ADALAH KESILAPAN DIRI saya SENDIRI YANG KURANG ILMU. Persiapkan diri dengan teknologi, untuk MENJADI KHAIRU UMMAH! Sebarang komen yang bernas, boleh dimuatkan dalam shoutbox di bahagian bawah atau diemailkan kepada saya di rzdy208@yahoo.com. Sekian, wassalam…
Post a Comment